Pemilihan negara perbicaraan bergantung keputusan siasatan
KUCHING: Pemilihan negara yang akan mengendalikan proses
perbicaraan dalang nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak
jatuh di Ukraine pada 17 Julai lepas perlu dipertimbangkan sebaik mungkin bagi
memberi faedah kepada semua mangsa dari negara terlibat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri turut
menjelaskan Malaysia dan Ukraine bukan anggota Mahkamah Jenayah Anrabangsa
(ICC), berbanding Belanda yang merupakan anggota ICC.
"Negara
perbicaraan masih belum ditentukan lagi, masih bergantung kepada keputusan
siasatan lagi. Jika keputusan siasatan mendapati lebih baik dilakukan
(perbicaraan) di Malaysia, dalang akan didakwa di negara ini.
"Kalau keputusan siasatan mendapati lebih baik didakwa
di negara lain terutama Belanda, jadi kita serahkan kepada Belanda, yang
penting keputusan memilih negara perbicaraan akan memberi faedah semua mangsa
nahas tersebut," katanya.
PENYIASAT Australia dan Belanda memeriksa serpihan pesawat
MH17 berhampiran Hrabove yang terletak 100 Km dari Donetsk, Ukraine, pada 1
Ogos. FOTO EPA
Mengulas lanjut, Nancy bagaimanapun berkata, Peguam Negara
Tan Sri Abdul Ghani Patail yang kini mewakili Malaysia dalam jawatankuasa
menyiasat nahas MH17 itu tetap mengkaji pilihan terbaik sama ada mengambil
tindakan membicarakan dalang di dalam atau luar negara.
"Walaupun Malaysia bukan anggota ICC, tindakan terhadap
dalang masih boleh dilakukan di negara ini. Kita ada peruntukan tertentu
antaranya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012
(SOSMA)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya,
hari ini.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang itu, Nancy
turut menyaksikan Amanah Raya Berhad turut menyumbangkan sebuah van jenazah
kepada Masjid Daerah Simunjan dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Simunjan. -
Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

No comments:
Post a Comment